tinta pena dariku

selamat datang....

hati bisa mengerti apa yang dibicarakan oleh jiwa....

Tuesday, January 31, 2012

Meniti Kasih

Meniti Kasih

Aku termenung di satu sudut sambil menghirup minumanku. Entah mengapa ia belum mampu membasahi tekakku yang dahaga. Kelihatan di luar jendela, sekumpulan remaja lelaki dan perempuan belasan tahun yang masih berbaju sekolah sedang bergelak ketawa sesama mereka. Ada juga yang bertepuk tampar sesama sendiri tanpa rasa kekok dan segan diperhatikan orang sekeliling. Seronok sungguh aku melihat gelagat mereka. Ada juga yang bergurau senda secara berpasangan seolah sedang bahagia dan seronok meniti kasih yang mereka corakkan. Seronok sungguh aku melihat gelagat mereka seolah-olah tiada apa yang perlu mereka fikirkan.

Sedang leka aku memerhatikan mereka, tiba-tiba aku teringat akan abangku yang kini dilanda seribu satu masalah dalam alam percintaannya. Aku seolah-olah buntu memikirkannya. Seingat aku abangku iaitu Mohd Ikwan Zuhairi merupakan seorang yang cukup tabah tetapi kali ini dapat aku rasakan sesuatu yang berbeza dari biasa. Abang aku tidak seceria dulu dan dalam situasi ini aku seakan-akan bingung bagaimana hendak membantu konflik yang melanda hidup dia.

Kring…kring….kring…

Telefon bimbitku berdering dan terpapar nama abang, aku dengan segera menekan butang hijau di telefon bimbitku.

“Hello, Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Adik sihat?” soal abangku.

Jauh disudut hatiku dapat aku rasakan abang berada dalam keadaan yang begitu gelisah. Hampir tiga puluh minit aku bersembang dengan abang. Abang sempat menceritakan apa yang berlaku terhadap dirinya. Aku turut simpati dengan keadaan abang kerana tidak aku sangka tunangnya sanggup menduakan abangku. Di hati kecil aku ini aku seolah-olah enggan memaafkan insan yang telah melukakan hati abangku kerana aku hanya ada seorang sahaja abang dalam hidup ini.

“Adik tolong abang ya. Jangan beritahu mama dengan abah.” Pesan abang dengan penuh harapan kepadaku.

Semenjak kejadian yang menimpa abangku itu, apabila ada kesempatan sahaja dia pasti akan menelefonku. aku seolah-olah ingin sahaja memberitahu mama dan abah mengenai masalah abang namun aku ingat pesan abang kepadaku. Tidak aku sangka kak Aqila Areesha sanggup menjadi talam dua muka dengan kedua orang tuaku. Didepan mama dan abah kak Aqila sangat baik hati dan cukup peramah malah pandai membuat lawak sehinggakan mencuit hati abah dan mama. Bagi kedua orang tuaku abang telah membuat pilihan yang tepat kerana mencari calon menantu mereka yang begitu baik hati dan agak cantik orangnya.

Ingatanku kembali ketika mama menghubungiku dan riang sungguh kedengaran suaranya dan mama memberitahu aku bahawa abang akan bertunang dalam masa terdekat ini. Agak teperanjat aku apabila mendengat perkhabaran itu, namun aku cuba yakinkan diri bahawa abang aku telah membuat pilihan yang tepat. Mama juga ada membuat pesanan kepadaku senarai barang-barang hantaran yang harus aku beli maklumlah aku seorang sahaja anak perempuan. Secara tidak langsung akulah orang yang perlu bekerja keras untuk menjayakan majlis pertunangan abang. Sejak dari itu, aku terpaksa meringankan kaki dan lapangkan masa aku untuk membeli barang-barang yang diperlukan. Aku dan juga teman lelakiku Amirul turut sama-sama pergi untuk membeli barang-barang hantaran. Aku sebenarnya seakan tidak percaya dengan keputusan abang untuk bertunang kerana bagi aku abang belum cukup kenal lagi kak Aqila Areesha. Berbeza dengan aku kerana aku lebih suka untuk berkawan lama-lama dahulu barulah boleh untuk mengikat sebarang ikatan.

Bermacam-macam soalan yang bermain dimindaku kerana aku sendiri belum pernah berpeluang untuk mengenali kak Aqila dengan lebih dekat. Namun aku akur dengan keputusan abang untuk mengikat tali pertungan dahulu walaupun mereka baru beberapa bulan menyulam ikatan cinta. Aku sebenarnya agak keberatan untuk melepaskan abangku kepada kak Aqila. Entah mengapa detik hatiku begitu. Tapi tidak mengapa kerana yang penting sekarang kebahagiaan abang.

Kini tibalah hari yang dinanti-natikan oleh abang, iaitu hari pertunangannya dengan kak Aqila. Tetapi pada hari tersebut aku agak hairan kenapa kak Aqila tidak mahu mengumumkan majlis pertungannya kepada rakan-rakannya dan fikirku mungkin kerana dia tidak mahu rakan-rakannya tahu mengenai abang. Aku sangat kagum dengan abangku kerana dia hanya menyetujui apa sahaja keputusan kak Aqila. Ketika iti dapat aku rasakan abang aku ibarat kerbau dicucuk hidung kerana terlalu mengikut kehendak kak Aqila. Aku cukup hairan kenapa kak Aqila tidak mahu rakan-rakan tahu akan hal ini.

“Erm….kalau aku la…aku dah lame umumkan bila aku akan bertunang dan akhirnya melangsungkan perkahwinan.” Detik hatiku perlahan….aku bermonolog sendrian….

Selepas kak Aqila bergelar tunangan abangku dia sering bertandang ke rumahku dan pandai mengambil hati kedua orang tuaku. Aku juga berasa selesa dengan kehadirannya selaku bakal kakak iparku. Aku tidak berasa kekok pun jika bersembang dengannya. Senang hati aku ketika itu melihat abang kesayanganku bahagia. Seingat aku, majlis perkahwinan mereka insyaallah akan dilangsung tahun hadapan tetapi kak Aqila seolah-olah tidak begitu setuju dengan cadangan kedua orang tuanya ketika majlis pertunangan tempoh hari. Mama begitu hairan dengan sikap kak Aqila yang ingin menangguhkan lagi majlis perkahwinan dengan abang. pada ketika itu tiada sebarang tanggapan yang negatif terhadap keputusan kak Aqila. Bagi mama lagi cepat lagi baik. Aku juga bertanggapan seperti mama. Tetapi tidak tahu apa sebab kak Aqila begitu tidak bersetuju jika perkahwinan dicepatkan. Seribu satu persoalan yang berlegar di fikiranku, mengapa tidak umumkan majlis pertunangan dan mengapa tidak mahu perkahwinan dicepatkan?....emm…..

Mohd Ikwan Zuhairi hanya mengikut sahaja kehendak kak Aqila. Setahu aku banyak wang abang dihabiskan untuk tunangnya, namun aku tidak langsung cemburu kerana bagi aku tidak salah melabur sedikit untuk yang tersayang. Kak Aqila melayan abang dan keluargaku dengan baik sekali. Malah mama juga amat suka akan kak Aqila. Maklumlah bakal menantu. Namun sebenarnya ada juga insan yang kurang bersetuju dengan pertunagan abang iaitu makcikku yang bongsu,mungkin kerana dia yang seharusnya sudah mendirikan rumah tangga masih belum ada perancangan untuk bertunang. Katanya abang langkah bendul. Tapi tidak mengapa janji apa yang diinginkan abang dapat dilaksanakan dengan baik.

Dalam kehidupan ini tanpa diduga apa sahaja boleh berlaku. Kak Aqila yang mama sering sebut-sebut sudah jarang datang ke rumah. Namun aku sangkakan panas hingga ke petang namun tiba-tiba hujan ditengah hari kerana baru sahaja dua bulan abang aku bertunang aku telah mendapat panggilan daripada abang bahawa dia agak sukar untuk mempertahankan ikatan pertunangan itu. Ketika aku mendapat tahu perkara tersebut terus fikiranku bercelaru memikirkan apakah yang akan terjadi selepas ini. Perkara yang paling aku bimbang ialah mama, kerana mama sangat berharap ikatan pertunagan itu diakhiri dengan perkahwinan kerana bukan sahaja saudara mara yang tahu kan perihal pertunagan abang malah seluruh pelusuk kampung tahu bahawa abang akan berkahwin dengan kak Aqila.

Semenjak abang menceritakan bahawa kak Aqila meminta abang untuk putuskan pertungannya kerana kak Aqila sudah ada teman lelaki baru yang baru sahaja dikenalinya. Lebih menyakitkan abang, teman lelaki kak Aqila lebih muda daripada kak Aqila dan masih menuntut disalah sebuah kolej di ibu negeri Pahang Darul Makmur. Tidak dapat digambarkan perasaan abang ketika itu. Luluh hatiku saat mendengar perkhabaran itu daripada abang. Bukan apa, aku berasa sangat terkilan sanggup kak Aqila mengkhianati cinta abang. seolah-olah manik-manik jernih menitis dipipiku sanggup insan lain mengkhianati abangku.

Namun perkara yang merunsingkan fikiran aku ialah reaksi mama dan abah. Oleh sebab itulah, abang cuba rahsiakan perkara ini daripada mereka aku pasti mereka mesti akan terkejut dan tidak akan percaya kata-kata abangku kerana kak Aqila merupakan seorang yang pandai mengambil hati mereka. Ketika abang dan kak Aqila sedang dilanda masalah ini, perkara yang paling menghairankan aku ialah sikap kak Aqila yang ‘selamba’ dan seolah-olah tiada sebarang masalah. Mungkin dia ingat aku tidak tahu apa yang berlaku. Hakikatnya aku telah mengetahui segalanya.

Kring…kring…

Telefon bimbitku yang tadi sunyi sepi kini berdering. Seperti selalu nama abang yang tertera di skrin telefon bimbitku, maklumlah aku seorang sahaja adiknya. Aku pasti abang pasti ingin bertanyakan mengenai kak Aqila.

“Assalamulaikum, adik buat apa? sibuk ke?” soal abang ingin memulakan bicaranya.

“Waalaikumussalam, tak adalah sibuk sangat pun. Abang apa khabar? Okey?”

“Abang tak okey sangatlah.runsing je kepala ni memikrkan masalah ni adik. Adik ada apa-apa khabar tentang kak Aqila?” suara abang tidak seperti selalu. Kedengaran suaranya yang lemah seolah-olah berat beban yang perlu dipikulnya.

“ Abang…adik tidak dapat menghubungi dia. Adik mesej dia tak balas. Adik ‘call’ dia tak angkat. Adik tak tahu macam mana. Terangku pada abang.

Sememangnya aku mahu menolong abang namun apa dayaku. Aku telah cuba tapi apakan daya. Baru aku teringat minggu hadapan aku akan bercuti dan inilah peluang aku untuk pergi ke rumah kak Aqila. Biarlah aku digelar tetamu tidak diundang pun janji aku telah cuba selagi aku mampu.

Hari ini aku akan pergi ke rumah kak Aqila dan aku harap aku tahu apa yang terjadi sebenarnya dari mulut kak Aqila sendiri.

“Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam..oh….adik.” wajahnya yang tadi ceria berubah sedikit. Nampak riak keresahan di wajahnya. Seolah-olah kehadiran aku mengejutkan dia.

Ini sebenarnya rancangan abang agar kak Aqila sedar akan kesilapannya. Namun ketika aku bertandang ke rumahnya dia seolah-olah berlakon seperti tiada apa-apa yang belaku. Hairan aku dibuatnya. Aku cuba bertanyakan bermacam-macam soalan kenapa kak Aqila tak balas mesej adik? Namun segala persoalan itu langsung tidak di endahkannya. Aku pula menjadi runsing.

Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan kerana kak Aqila pandai berlakon. Jadi aku terpaksa meminta diri untuk pulang. Namun apabila aku keluar dari rumahnya, tidak aku duga sebuah kereta Produa Viva meluru masuk ke rumah kak Aqila. Aku seakan kenal pemandunya. Seingat aku dialah lelaki yang abang ceritakan itu. Lelaki itulah yang memusnahkan cinta abang dan kak Aqila. Ikutkan hati aku ketika itu aku mahu sahaja bagi penampar pada budak lelaki itu.

Aku pun beredar dari rumah kak Aqila. Tanpa aku sedari produa Viva tadi mengekori aku malah dia turut mengejarku. Panas sahaja hatiku dan kalau ikutkan hati aku ingin saha mengejarnya kembali namun aku cuba berfikir rasional dan aku bersabar.

Aku terus menghubungi abang…

“Hello abang..budak tu kejar kereta adik.”

“Apa?..kenapa adik tak kejar balik? Melampau betul la budak hingusan tu.” Abang sudah tidak dapat menahan kesabarannya.

Aku ketika itu ingin sahaja bertumbuk dengan budak itu, namun aku cuba bersabar dan aku tidak tahu untuk menyelesaikan masalah ini. Yang ada difikiranku hanyalah abah. Abah mungkin tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Tapi keluarga kak Aqila mahukan abang untuk menjadi menantu mereka. Dalam keadaan ini aku hanya mampu berserah kepadaNya. Aku seakan buntu dalam kemelut ini. Aku cuba kuatkan semangat untuk ceritakan segalanya kepada abah.

“Abah,ada sesuatu yang penting untuk adik bincangkan dengan abah mengenai abang”.

“apa adik?”

“abang dengan kak Aqila sudah lama dilanda masalah. Kak Aqila ada lelaki lain”.

Abah kelihatan tenang dan seolah-olah mengetahui segalanya. Agak hairan aku ketika itu.

“Adik, abah da tahu segalanya. Abah Nampak sendiri kak Aqila keluar dengan budak lelaki lain. Bukan sekali tapi lima kali.”tenang abah menceritakan kepadaku.

Alhamdulillah…..abah tahu segalanya. Tapi kali ini aku dan abah perlu mengatur stategi untuk menyelamatkan keadaan.

Namun semua menjadi keliru kerana bagiku bukan abang yang bersalah. Abah telah pergi bertemu dengan keluarga kak Aqila dan menurut mereka kak Aqila mengaku dia telah curang namun kak Aqila mengakui bahawa dia tidak langsung mencintai budak lelaki itu..

Keluarga kak Aqila terlalu harapkan abang menjadi menantu mereka. Namun apa yanh diharapkan belum pasti terjadi.

Hairan aku dibuatnya…bila di Tanya adakah dia menyintai abang dia hanya diam membisu. Persolannya bagaimana dengan kedudukan abang kini? Ikatan pertunangan ini tidak mungkin diputuskan. Tapi adakah kak Aqila tidak curang dan bermain kayu tiga lagi? Adakah kak Aqila insaf dan kembali pada abang? atau kak Aqila memang sudah tawar hati dengan abang? adakah abang ada buat kesilapan besar yang kak Aqila tidak akan maafkan?

Segala persoalan ini hanya kak Aqila yang ada…aku hanya berserah dan semoga jodoh abang berpanjangan kerana abang terlalu menyayangi kak Aqila. Atau abang perlu redha yang kak Aqila bukan tercipta untuknya?......

No comments:

Post a Comment